Monday, March 26, 2012

Anak syarikat PMBK keluarkan zakat dan sumbangan lebih RM120 Ribu





KOTA BHARU, 26 Mac: PMBK Sawit, anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, menyerahkan dua sumbangan kepada dua penerima masing-masing berjumlah RM70,000 dan RM55,800.


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili PMBK Sawit menyerahkan sumbangan kepada Pondok Moden sebagai pembayaran zakat


Manakala Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa pula menyerahkan sumbangan kepada Farahwaheeda Matvi, isteri allahyarham Kamalruzaman Abdullah.

Kamaruzaman, kakitangan PMBK yang juga Pegawai Khas Datuk Husam Musa terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari menyertai tuntutan royalty kerajaan Kelantan di Kuala Lumpur 11 November tahun lalu (11.11.11).

Sumbangan kepada Farahwaheeda sebagai bayaran faedah kematian kepada isteri kakitangan PMBK mengikut skim pengiraan perkhidmatan syarikat Artikel 54.

Turut hadir pada majlis itu, Penolong Pengarah Yik (Bahagian Pelaburan), Ustaz Abdul Kader Othman, Penolong Pengarah Yik (Halehwal Murid), Ustaz Muslim Che Yusof dan lain-lain kakitangan PMBK Sawit.

Hadir sama, Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan timbalannya, Rosli Abdullah.

Husam berkata, sumbangan berkenaan diberikan semoga pihak yang memerlukan dapat memanfaatkan sumbangan itu dengan baik.

“Sumbangan ini turut diberikan kepada Pondok Moden dengan harapan ianya dapat membantu 289 pelajar di sana termasuk isteri allahyarham Kamal,”ujarnya.