Wednesday, March 2, 2011

Kelantan nafi rampas tanah rakyat

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah daripada rakyat di Hulu Kelantan.

Beliau berkata sebaliknya kerajaan negeri mengambil balik tanah milik kerajaan negeri yang diterokai secara haram atau secara bersindiket.

"Ada juga dakwaan kerajaan merampas tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau. Tetapi tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan," katanya semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Semasa perbahasan, Abdul Aziz Yusoff (BN-Galas) berkata tindakan kerajaan negeri membenarkan penerokaan tanah di kawasan Lojing telah merosakkan alam
sekitar di situ selain membangkitkan kemarahan Orang Asli kerana ada syarikat menceroboh tanah adat yang didakwa milik mereka.

Ahmad berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk merizabkan tanah untuk Orang Asli seluas 200 hektar di Pos Jeli, 2,200 hektar di Kuala Betis dan 200 hektar lagi di Pos Blau.

Bagaimanapun pemberian tanah itu masih tertunda kerana kerajaan Kelantan masih menunggu kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk
membuat ukuran dan sempadan di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa, pula berkata kerajaan negeri bercadang menubuhkan dana khas RM100
juta untuk membangunkan rumah mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata melalui dana itu kerajaan negeri akan menggembleng sumber asli iaitu hutan dan pasir bagi memperoleh sumber kewangan untuk membina rumah kepada rakyat.

"Seperti pengeluaran pasir, kita akan eksportnya dengan menambah baik bahan itu dengan mencampurkannya dengan simen dan ia akan digunakan untuk pembinaan.
Kelantan mengeluarkan 4.4 juta tan pasir setahun," katanya.

Husam juga berkata kadar pengangguran di Kelantan kini adalah 2.2 peratus daripada 1.95 juta rakyatnya.

- Bernama

http://www.malaysiakini.com/news/157538

No comments:

Post a Comment